Interview with Datuk Sri Hishammuddin PDF Print E-mail
Monday, 14 July 2008

On 29 June 2008, Mingguan Malaysia interviewed Datuk Sri Hishammuddin Hussein, the Minister of Education, commenting on the MCKK Speech Day Address by DYTM Raja Dr Nazrin Shah. Here's the full article in Malay:

Melayu perlu bersatu


TITAH ucapan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah ketika menyempurnakan Majlis Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada 21 Jun lalu menyentuh perasaan ramai orang Melayu.

Ia dengan jelas menunjukkan keprihatinan baginda terhadap nasib orang Melayu kini dan masa depan mereka. Bagi orang Melayu yang berjaya, pesan baginda “Janganlah berperangai seperti Si Tanggang, terlalu cepat bersifat angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung.”


Persoalannya, kenapa soal Melayu kini semakin mendapat perhatian pihak istana? Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia memberikan pandangannya.

Menurut beliau, orang Melayu perlu bermuhasabah dan kemudian bangun untuk mengubah diri jika mereka tidak mahu ketinggalan.

Bagi Hishammuddin dalam suasana politik sekarang, orang Melayu tidak boleh lagi leka, mereka perlu mempertahankan apa yang difikirkan hak tetapi dalam masa yang sama menjalin hubungan akrab dengan kaum lain untuk membangunkan negara. Hishammuddin turut memberi pandangan mengenai perkembangan MCKK.

MINGGUAN: Datuk Seri dilihat mempunyai hubungan yang rapat dengan Raja Nazrin Shah. Secara umumnya, apakah pandangan Datuk Seri tehadap baginda?

HISHAMMUDDIN: Saya berasa amat bertuah kerana mengenali Tuanku sejak begitu lama. Raja Nazrin mempunyai keprihatinan mendalam terhadap pendidikan anak bangsa dan begitu komited menyumbangkan idea serta tenaga dalam pelbagai program pendidikan.

Tuanku juga amat mengambil berat tentang soal politik dan ekonomi orang Melayu di dalam negara kita dan dilihat begitu mengutamakan soal perpaduan orang Melayu selain bimbang perpecahan akan menjejaskan masa depan anak-anak Melayu.

Apa pandangan Datuk Seri berhubung titah baginda pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah MCKK baru-baru ini?

HISHAMMUDDIN: Say a merasakan ucapan Tuanku mempunyai makna yang amat mendalam. Tuanku pada hakikatnya bukan sahaja berpesan kepada pelajar dan guru di MCKK, tetapi lebih merupakan nasihat dan pesanan kepada semua orang Melayu secara keseluruhannya.

Melalui titah itu, kita dapat memahami wawasan dan iltizam Raja Muda Perak untuk terus melonjakkan kecemerlangan MCKK dan menjadikannya sebuah institusi yang terbilang bukan sahaja di dalam negara malah di pentas dunia.

Tuanku ada menyentuh tentang keperluan untuk menyuntik MCKK dengan nafas baru dan meningkatkan taraf pendidikan di kolej itu agar ianya bertaraf dunia.

Dalam hal ini, Tuanku turut mahukan negara melihat kedudukan MCKK, yang juga merupakan Institusi Warisan Bangsa dan Negara, dari kaca mata berbeza dan mahu ia kekal dihormati sebagai sebuah institusi pendidikan menengah yang terunggul.

Dalam soal masa depan pendidikan anak-anak Melayu, mesej Raja Nazrin adalah jelas. Tuanku percaya hanya melalui pendidikan, umat Melayu tidak akan menerima nasib malang pada masa hadapan. Tuanku tidak mahu anak Melayu sampai menjadi ayam yang kelaparan di kepuk, itik kehausan di air, ibarat menjadi dagang di kampung sendiri.

Saya juga dapat merasakan daripada ucapan itu, nada kebimbangan Raja Muda Perak terhadap masa depan orang Melayu dalam senario politik semasa di samping keperluan untuk rakyat terus memahami dan mengiktiraf peranan institusi raja-raja Melayu.

Raja Nazrin ada menyebut bahawa MCKK perlu dilihat berbeza berbanding sekolah-sekolah lain? Apa istimewanya MCKK?

HISHAMMUDDIN: Penting untuk kita sama-sama hargai hakikat bahawa MCKK bukan sekolah menengah biasa. MCKK mempunyai nilai sejarah yang tersendiri dan begitu tinggi.

Ia adalah sekolah berasrama penuh yang pertama di Malaysia. Bukan itu saja, penubuhannya pula digerakkan oleh empat orang Sultan negeri-negeri Melayu ketika itu, iaitu Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah I dari Perak, Sultan Alaidin Sulaiman Shah (Selangor), YAM Tuan Muhammad Shah (Negeri Sembilan) dan Sultan Ahmad Mu‘adzam Shah (Pahang).

Walaupun tujuan asalnya untuk memberi pendidikan berkualiti kepada anak-anak raja dan golongan bangsawan Melayu agar mereka boleh berperanan di dalam kerajaan ketika itu, tetapi selepas tahun 1947, ia dibuka untuk semua anak Melayu.

Hari ini, ia menjadi tempat berkumpulnya anak- anak Melayu yang cemerlang dan ramai daripadanya datang dari kawasan luar bandar.

MCKK sudah berusia 103 tahun. Dalam usia itu, MCKK telah mempunyai tradisi kecemerlangan yang kukuh dan berjaya melahirkan ramai pemimpin serta tokoh dalam pelbagai bidang di dalam negara.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika MCKK dimasyhurkan sebagai Institusi Warisan Bangsa dan Negara. MCKK istimewa kerana seperti yang disebut oleh Raja Nazrin Shah, MCKK amat berkait rapat dengan istana dan hasrat raja-raja Melayu yang mahukan anak-anak Melayu diperlengkap dengan pendidikan berkualiti tinggi.

Langkah mengekalkan kecemerlangan institusi ini bermaksud kita meneruskan kesinambungan usaha dan keprihatinan raja-raja Melayu terhadap pendidikan rakyatnya.

Apakah pendekatan yang diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk terus memastikan kecemerlangan MCKK?

HISHAMMUDDIN: Seperti yang saya nyatakan MCKK mempunyai tradisi kecemerlangan yang begitu kukuh. Tidak sukar untuk melonjak dan mengekalkan kecemerlangannya asal saja kita memberikan sokongan yang berterusan dalam bidang-bidang yang menjadi kelebihan dan kekuatannya selama ini.

MCKK telah dipilih menjadi salah satu daripada 30 buah sekolah kluster yang pertama. Pemilihan ini amat bertepatan dengan hasrat pendekatan kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Kementerian Pelajaran, iaitu untuk melonjakkan kecemerlangan sekolah-sekolah yang sudah bersedia.

Ini bagi membolehkan kecemerlangannya dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi sehingga dapat duduk sebaris dengan sekolah-sekolah terbaik di dunia. Ia menuntut kita memikirkan di luar kotak apabila membuat perancangan pendidikan negara dan bangsa. Dalam dunia hari ini, satu formula untuk semua tak boleh diguna lagi untuk memastikan anak bangsa tidak terpinggir, tersisir khususnya dalam persaingan global yang semakin sempit dan mencabar.

Melalui konsep sekolah kluster ini, kita akan memberikan sedikit sebanyak kuasa autonomi kepada MCKK untuk menentukan hala tuju dan pengendalian pentadbiran sekolah. Dengan autonomi ini, MCKK mempunyai fleksibiliti dan kebebasan untuk memilih bidang kebitaraan (niche areas), kursus serta program yang sesuai untuk pelajar dan guru-gurunya.

Jika dirasakan perlu, mereka boleh memilih dan melantik murid, guru dan tenaga pakar bagi membantu memajukan bidang kebitaraan yang dipilih. Selain itu, sebagai sekolah kluster, MCKK juga diberi beberapa keistimewaan lain termasuk mewujud dan menguruskan dana dan tabungan sekolah.

Selain pemberian kuasa autonomi kepada sekolah-sekolah kluster, pendekatan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan ini juga melibatkan usaha memberi pendedahan serta latihan kepada pemimpin-pemimpin di peringkat sekolah agar mampu memacu sekolah-sekolah ini ke tahap yang lebih cemerlang. Setakat ini KPM telahpun menghantar seramai 125 orang pengetua dan guru besar mengikuti kursus kepimpinan ke institusi-institusi pendidikan ternama di luar negara seperti Kings College, London, Monash University, Australia dan Waikato University, New Zealand.

Kementerian Pelajaran sedar bahawa elemen yang paling penting dalam menjayakan agenda kecemerlangan merupakan aspek kepimpinan. Oleh demikian selain menghantar pemimpin-pemimpin berkursus, Kementerian Pelajaran juga telah menstruktur semula peranan institut Aminuddin Baki sebagai pusat yang memberi penekanan dan fokus khusus kepada tugas melahirkan serta mengasuh guru-guru besar dan pengetua yang berkaliber dan berani menunjukkan kepimpinan selain berupaya meniti arus perubahan demi kecemerlangan sekolah kluster masing-masing.

Setakat ini apakah bidang kebitaraan atau program yang dipilih oleh MCKK?

HISHAMMUDDIN: Setakat ini saya lihat pihak sekolah telah merangka sejumlah program untuk memantapkan pengurusan sekolah, kualiti guru dan kemenjadian murid. Dalam soal kemenjadian murid, MCKK telah memohon untuk menambah aliran dan pada masa yang sama menambah beberapa subjek.

Hasrat MCKK adalah untuk memberi pilihan yang lebih luas kepada murid. Ketika ini hanya ada aliran Sains Tulen. MCKK ingin menawarkan aliran Sains Sosial kerana bukan semua murid minat dengan Sains Tulen. Pada waktu yang sama pihak pentadbir, PIBG dan Lembaga Pengelola MCKK berpandangan MCKK perlu menawarkan pelbagai aliran agar produk MCKK akan menjadi pemimpin dan peneraju dalam pelbagai bidang, bukan setakat bidang sains dan teknologi.

Ada di kalangan murid ini yang mahu menjadi peguam, akauntan dan sebagainya. Jadi perlu ada aliran lain sebagai alternatif.

Salah satu bidang kebitaraan yang merupakan saranan Raja Nazrin sendiri pada tahun 2005 adalah program International Baccalaureatte (IB) yang pada hari ini merupakan program yang mendapat pengiktirafan universiti-universiti Ivy League di dunia.

Hasrat Tuanku melalui program ini, ialah lebih ramai anak Melayu yang dapat melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka di dalam dunia.

Tidakkah pendekatan ini nanti hanya akan melahirkan sekolah dan golongan elit Melayu?

HISHAMMUDDIN: Mungkin istilah elit bukan istilah yang tepat untuk menggambarkan pendekatan sekolah kluster ini kerana sekolah-sekolah yang terpilih sebagai sekolah kluster merupakan sekolah-sekolah contoh dan terbaik di dalam kelompok masing-masing, termasuk sekolah menengah teknik, sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah pendidikan khas, sekolah jenis kebangsaan dan sebagainya.

Dalam konteks MCKK, ia bukan lagi sekolah untuk golongan bangsawan lagi sebaliknya sudah begitu terbuka untuk semua anak Melayu yang cemerlang, bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga di dalam sukan dan kokurikulum. Sebahagian besarnya datang daripada kawasan luar bandar.

Yang penting, seperti yang disebut oleh Raja Nazrin, langkah untuk meneruskan kecemerlangan MCKK adalah kesinambungan usaha dan aspirasi raja-raja Melayu untuk mengadakan pendidikan berkualiti bagi anak-anak Melayu.

Ini bagi membolehkan mereka mampu memainkan peranan dan bersaing bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Apa pun, bagi anak-anak Melayu yang berjaya ini, pesan Tuanku, jangan pula sampai menjadi Si Tanggang yang terlalu cepat bersifat angkuh sehingga melupakan asal keturunan, menjadi rakus dan gopoh sehingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung.

Pada pandangan Datuk Seri, ramaikah Si Tanggang dalam kalangan orang Melayu yang berjaya ketika ini?

HISHAMMUDDIN: Bukan soal ramai atau tidak, tetapi pokok pangkalnya setinggi mana sekalipun kejayaan kita, jangan sampai lupa asal usul sebagai orang Melayu. Jangan lupa adat resam. Jangan lupa pegangan agama kita.

Jangan lupa perjuangan orang sebelum kita yang berjuang untuk memastikan hak dan kedudukan kita terjamin. Ingat perjuangan mereka di perbatasan yang mempertahankan negara daripada musuh. Sebab itulah saya tekankan untuk sekolah-sekolah kluster ini dalam kita menerokai pendekatan baru, jangan sekali-kali lupakan sejarah. Sentiasalah berdiri di atas bumi yang nyata kerana mereka yang ingin kita lahirkan merupakan pemimpin yang akhirnya akan terpaksa memimpin bangsa dan negara dengan penuh keyakinan, menggunakan acuan kita sendiri untuk bersaing dengan dunia.

Ingat perjuangan mereka dalam bidang pendidikan dan ekonomi yang membolehkan nenek moyang atau ibu bapa kita hidup selesa sehingga kita juga dapat menumpang hidup senang lenang pada hari ini.

Maksud titah Tuanku amat mendalam. Pohon tempat bernaung, boleh jadi maksudnya, institusi raja-raja Melayu. Boleh jadi juga institusi politik yang melindungi kepentingan orang Melayu. Boleh jadi juga NGO Melayu. Dalam hal ini, mungkin institusi itu adalah UMNO kerana saya masih berpendapat tidak ada mana-mana parti yang begitu jelas prinsip perjuangannya memelihara kepentingan orang Melayu dan agama Islam, melainkan UMNO.

Dahan tempat bergantung pula, mungkin bermaksud dasar-dasar yang telah pemimpin-pemimpin terdahulu buat, baik dalam bidang politik, ekonomi dan pendidikan, yang memelihara dan mempertahankan kedudukan orang-orang Melayu bukan sahaja untuk bersaing dengan bangsa lain di negara ini tetapi dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Inilah yang dimaksudkan cabaran dunia tanpa sempadan, langit terbuka luas dan era globalisasi.

Pesanan Raja Nazrin ini membawa nada yang sama dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini. Pada pandangan Datuk Seri, kenapakah tiba-tiba kebimbangan ini mula disuarakan oleh Tuanku berdua?

HISHAMMUDDIN: Dengan perubahan landskap senario politik hari ini, ketidaktentuan ekonomi dunia dan negara, dengan ledakan pelbagai maklumat yang menular melalui teknologi baru hari ini, mungkin tergerak hati baginda berdua untuk memikul dan menunaikan amanah sebagai putera-putera raja Melayu.

Seperti yang disebut oleh Tengku Mahkota Pahang, isu pokok yang menjadi punca kebimbangan Tuanku adalah perpaduan di kalangan orang Melayu. Walaupun ada yang cuba memperjuangkan politik merentasi kaum dan agama seperti yang pernah saya sebutkan dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini, parti-parti politik, sama ada BN ataupun pembangkang masih tetap berasaskan kaum.

Tengku Mahkota Pahang menyebut apabila orang Melayu tidak bersatu, maka akan berlakulah perubahan polar politik negara secara mendadak dan akhirnya boleh mengakibatkan bukan sahaja orang Melayu tidak relevan malah agama Islam turut terpinggir, dan kesatuan pelbagai kaum di negara ini terjejas menyebabkan sukar untuk kita membuat perancangan pembangunan negara dalam jangka masa jauh ke hadapan.

Bagaimanapun dengan peranan kaum lain?

HISHAMMUDDIN: Dalam usaha mempertahankan adat resam, budaya, agama dan kedudukan orang-orang Melayu, tidak semestinya kita perlu bermusuh dengan kaum-kaum lain di negara ini. Kita sentiasa diajar untuk menganggap semua rakan seperjuangan, tanpa mengira kaum sebagai sahabat di mana nilai yang kita pegang menuntut kita adil kepada semua. Dalam konteks BN, rakan-rakan komponen sentiasa merupakan sahabat dan rakan seperjuangan. Ingat, perwatakan umat Melayu Islam sentiasa menghargai rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa bersama-sama kita dalam keadaan susah ataupun senang. Ketika mengharungi segala cabaran untuk membina sebuah negara bangsa Malaysia yang kita semua cintai. Dalam keadaan kita diujilah, kita akan dapat mengetahui siapakah kawan yang setia. Mereka inilah yang tidak akan kita lupa apabila kita telah pulih dan telah bina semula parti.

Tengku Mahkota Pahang menyebut bahawa institusi raja-raja Melayu tidak seharusnya dianggap musuh sebaliknya raja adalah penjaga negeri, pelindung hak orang Melayu dan ketua kepada semua kaum. Apakah komen Datuk Seri?

HISHAMMUDDIN: Kita seharusnya faham di dalam sistem negara ini, kerajaan perlu wujud bersama institusi beraja bagi menjamin kesejahteraan dan kedaulatan tanah air. Ini bukan sahaja untuk orang- orang Melayu tetapi untuk semua kaum.

Setiap pihak mempunyai peranannya sendiri dan institusi raja-raja Melayu sejak dulu lagi turut menyumbang bagi memastikan kemajuan negara.

Dalam hal yang berkaitan dengan agama Islam dan kedudukan orang Melayu, jelas peranan institusi raja-raja Melayu dan UMNO adalah selari. Kita semua perlu ingat, UMNO tidak dilahirkan di tepi- tepi jalan tetapi UMNO lahir di Istana Besar Johor.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa selama ini dari segi sejarah, hubungan UMNO dan institusi raja-raja Melayu adalah amat rapat, bermula dari penentangan terhadap Malayan Union lagi sehinggalah ke hari ini. Demi masa depan agama Islam dan bangsa Melayu, hubungan yang sudah sedia rapat di antara UMNO dan institusi raja-raja ini perlu diakrabkan lagi.

Melayu perlu bermuhasabah dan mencari titik pertemuan di antara mereka demi masa depan umat dan negara. Jangan kita terlalu ghairah berpolitik mengejar harta dan kedudukan. Bersorak tetapi langsung tidak sedar kampung kita telahpun tergadai.

Ambillah pengajaran daripada titah Raja Nazrin kepada guru-guru yang mendidik anak-anak Melayu kita di MCKK bahawa: “Bisikkan kepada mereka akan petua orang tua-tua, bahawa kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia. Pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman dulu lagi terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang membawa rebah. Ingatkanlah mereka akan sejarah bangsanya bernegara berlandaskan adat rakyat bersultan, negeri beraja.”

Selepas bermuhasabah, kita perlu bingkas bangkit mengubah diri dan berusaha meningkatkan perpaduan sesama kita dan berusaha memperkuat serta memajukan diri dalam semua bidang, baik di dalam bidang politik, pendidikan, ekonomi, sains dan teknologi atau bidang apa sekalipun. 

Comments (0)

Subscribe to this comment's feed

Show/Hide comments

Write comment

smaller | bigger

busy
 
< Prev   Next >

Random Articles

MCKK and the Civil Service

Wednesday, 09 January 2008 | syed ahmad

MCKK has played a significant role in the formation of Civil Service in Malaysia. This article covers the following topics:Malay College, a niche in the history of the countryMalay College, a special...
+ Full Story

The Cagers' PHT North Zone Schedule

Friday, 28 March 2008 | ihsan ismail

The Cagers will the defending their PHT North Zone Championship in SMS Sultan Azlan Shah (SERATAS), Taiping from 11 - 13 April 2008 and going for their sixth (6) consecutive championships. ...
+ Full Story

Other Articles

Warning: fopen(/usr/home/mckk/web/www/components/com_sef/cache/shCacheContent.php) [function.fopen]: failed to open stream: Permission denied in /usr/home/mckk/web/www/components/com_sef/shCache.php on line 108