Ucapan Pengetua HUPH 2008 PDF Print E-mail
Monday, 14 July 2008
 
TEKS UCAPAN PENGETUA
HARI UCAPAN DAN PENYAMPAIAN HADIAH 2008
THE MALAY COLLEGE KUALA KANGSAR
SABTU 21 JUN 2008


Assalammualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera.

Ampun Tuanku, Beribu-ribu ampun.

Mengadap Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Patik mohon perkenan Tuanku, bagi pihak The Malay College menjunjung kasih atas perkenan Tuanku ke upacara Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah yang penuh gilang-gemilang ini.

Patik selaku Pengetua The Malay College melimpahkan ribuan syukur ke hadrat Illahi kerana merahmatkan Tuanku mencemar duli berangkat datang memenuhi undangan pada pagi yang mulia ini.

Sesungguhnya patik sekalian dapat berasakan keberangkatan Tuanku memberi erti yang sukar untuk diungkap dalam majlis pada pagi ini. Majlis sudah pasti bertambah serinya dengan keberangkatan Tuanku ke upacara Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah dan seterusnya meningkatkan iltizam diri patik sekalian untuk memaju dan membangunkan The Malay College yang bertuah ini.


Ampun Tuanku,

Seterusnya patik dengan hormat dan takzimnya memohon perkenan Duli Tuanku untuk menyampaikan ucapan kepada para hadirin sekalian.

Yang Berhormat Dato? Sri Hishammuddin b. Tun Hussein,
Menteri Pelajaran Malaysia

Yang Amat Berbahagia Tun Mohammad Haniff b. Omar,
Ahli Lembaga Pengelola The Malay College Kuala Kangsar, serta isteri

Yang Dihormati Ahli-ahli Lembaga Pengelola The Malay College Kuala Kangsar

Yang Mulia Tunku Datuk Seri Hj Adnan b. Tunku Besar Burhanuddin,
Presiden Kehormat Seumur Hidup, Persatuan Murid-Murid Tua The Malay College Kuala Kangsar (MCOBA)

Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Megat Najmuddin b. Megat Khas,
Presiden, Persatuan Murid-Murid Tua The Malay College Kuala Kangsar (MCOBA)

Yang Berbahagia Datuk Seri Wan Fadzir b. Wan Hussain,
Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar

Yang Berbahagia Datin Asariah bt. Mior Shaharuddin,
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Yang Berbahagia Tuan Haji Hussain b. Haji Harun,
Pengarah Pelajaran Perak

Yang Berbahagia Dato? Aminuddin b. Md. Desa
Yang Dipertua, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) The Malay College Kuala Kangsar

Tan Sri, Puan Sri, Dato?-Dato?, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Ketua-ketua Jabatan, guru-guru, ibubapa, dan seterusnya para hadirin yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurniaNya, dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang penuh bersejarah dan amat bermakna ini.

Pada pagi yang mulia ini izinkan patik menyampaikan laporan tentang perkembangan The Malay College. Dalam melaksanakan program, The Malay College telah memberikan keutamaan dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang cemerlang khususnya dalam bidang akademik.

Hasilnya, pada tahun 2007, dalam peperiksaan PMR, The Malay College telah berjaya mencatat sejarah apabila 99 orang pelajar memperolehi 8A. Pencapaian ini merupakan pencapaian terbaik sepanjang peperiksaan PMR diperkenalkan di The Malay College, iaitu pencapaian gred purata keseluruhan 1.4.

Dalam peperiksaan SPM pula, seramai 21 orang pelajar memperoleh ?straight As? dan sekali lagi The Malay College telah diberi pengiktirafan dengan dianugerahi Anugerah Emas kepada mata pelajaran teras sempena Hari Kecemerlangan SBP peringkat kebangsaan.

Peningkatan pencapaian ini memberikan gambaran yang amat positif dan menjadi satu petunjuk bahawa patik sekalian mampu melakar kejayaan yang lebih gemilang pada tahun ini. Beberapa program telah patik laksanakan sejak awal tahun lagi bagi memastikan cita-cita tersebut tercapai dengan jayanya.

Segala kejayaan merupakan hasil daripada usaha gigih para pelajar, bimbingan yang berterusan daripada guru-guru, sokongan daripada semua pihak khususnya Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Persatuan Murid-Murid Tua The Malay College dan orang perseorangan.

Selain memberi tumpuan kepada bidang akademik, The Malay College tidak ketinggalan dalam bidang kokurikulum. Banyak kejayaan telah dicapai baik pada peringkat daerah, negeri, kebangsaan, malah peringkat antarabangsa.

Pasukan Bola Keranjang sekali lagi mengulangi kejayaan muncul juara Piala Tan Sri Hamdan Sheikh Tahir selama lima tahun berturut-turut sempena Hari Kecemerlangan SBP peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Dalam Pertandingan Bahas Jemputan Universiti Islam Antarabangsa pula, pasukan bahas Bahasa Melayu telah muncul naib johan dalam pertandingan yang melibatkan 83 pasukan yang lain dari seluruh negara.

Satu lagi detik bersejarah berulang apabila Pasukan Wind Orchestra sekali lagi memperolehi pingat emas dan berjaya memasuki pertandingan akhir yang akan berlangsung pada petang ini di Putrajaya.

Bagi merangsang pembangunan modal insan pula, patik turut memberi penekan kepada pembangunan jati diri pelajar selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dalam teras Membangun Modal Insan.

Untuk menrealisasikan impian ini, patik turut memberi laluan kepada program yang melibatkan hubungan antara The Malay College dengan institusi-institusi pendidikan di luar negara seperti Singapura, Brunei, Vietnam, China, Thailand dan India melalui program pengantarabangsaan.

The Malay College telah diisytiharkan sebagai sebuah sekolah Kluster Kecemerlangan kategori A yang telah mencapai tahap antarabangsa dalam kebitaraannya. Berdasarkan peruntukan yang diterima daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, patik akan terus memajukan aspek kebitaraan sekolah terutamanya aspek kepimpinan dan hubungan antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, Insyallah, The Malay College akan menganjurkan satu persidangan peringkat antarabangsa yang dijangka akan berlangsung pada 24 Ogos hingga 31 Ogos di The Malay College.

Objektif persidangan ini merupakan salah satu inisiatif untuk mengasah bakat kepimpinan pelajar dan sekali gus dapat memupuk keupayaan mereka untuk berfikir di luar kotak dan menrealisasikan konsep ?towering personality?.

Patik rasa bertuah kerana bekas-bekas pelajar telah memberi sokongan yang padu dalam usaha untuk melahirkan tokoh pelajar yang serba boleh.

Dalam kalangan pelajar Sekolah Berasrama Penuh sempena Hari Kecemerlangan SBP baru-baru ini, Amirul Ashraf bin Mohd Hanafi dari rumah Ahmad telah terpilih untuk memenangi anugerah tokoh pelajar.

Cabaran besar yang patik sekalian hadapi adalah untuk melahirkan para pelajar yang bersungguh-sungguh dalam semua segi, sentiasa bermotivasi tinggi serta memiliki jati diri yang kukuh di samping memiliki sahsiah yang mantap berbanding dengan pelajar sekolah lain di negara ini.

Terbukti bahawa cabaran ini jelas menjadi tanggungjawab patik sekalian untuk memenuhi hasrat negara yang ingin akan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Patik amat yakin bahawa, dengan adanya kerjasama antara ibu bapa dan panduan serta nasihat daripada Lembaga Pengelola The Malay College, hasrat murni ini akan terpupuk di kolej ini.

Di bawah keistimewaan sekolah kluster juga, patik telah berusaha memperkenalkan beberapa mata pelajaran. Mata pelajaran Prinsip Akaun mula diperkenalkan pada tahun ini dan Insyallah, jika kebenaran diperoleh maka aliran sains sosial pula akan diperkenalkan mulai tahun 2009.

Langkah ini difikirkan wajar memandangkan The Malay College bukan sahaja berhasrat untuk melahirkan pelajar daripada aliran sains, malah daripada aneka jurusan, yang akhirnya dapat memenuhi permintaan tuntutan pelbagai profesion di negara ini pada masa hadapan.

Di samping itu, usaha bagi menrealisasikan program International Baccalaureate sedang giat dilakukan.

Pada tahun lalu, YB Menteri Pelajaran Malaysia, Dato? Sri Hishammuddin bin Tun Hussein, telah meluluskan peruntukan bagi membina dewan baru untuk The Malay College. Pemberian yang sangat bermakna itu telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Lembaga Pengelola The Malay College dan telah merancang reka bentuk serta kesesuaiannya dengan kehendak semasa. Segala urusan teknikal telah selesai dan Insyallah kini menunggu pembinaannya yang akan bermula pada tahun ini juga.

Pada hari ini, patik memohon limpah kurnia Tuanku untuk melancarkan kerja pembinaan Auditorium Tun Abdul Razak di tapak pameran.

Patik sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua anak pelajar yang telah berjaya menerima anugerah dan sijil pada pagi ini. Tidak ketinggalan ucapan tahniah dan terima kasih kepada guru-guru dan staf sokongan yang telah bekerja sebagai satu pasukan demi kejayaan The Malay College.

Ampun Tuanku.

Patik memohon mengakhiri ucapan sekali lagi bagi pihak majlis patik merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku mencemar duli berangkat untuk bersama-sama memeriahkan majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah pada pagi ini.

Patik menjunjung kasih Tuanku.

Ampun Tuanku. 

Comments (0)

Subscribe to this comment's feed

Show/hide comments

Write comment

smaller | bigger

busy
 
< Prev   Next >

Random Articles

UJIAN SELARAS 1 2009

Tuesday, 03 March 2009 | Mohd Sabri

Ujian Selaras 1 2009 sedang dijalankan melibatkan semua tingkatan. Ujian bermula pada 2 Mac dan akan tamat pada 4 Mac. Selamat Maju Jaya
+ Full Story

Twelve's victory does alma mater proud

Thursday, 13 March 2008 | syed ahmad

TWELVE out of 15 'old boys' of the Malay College Kuala Kangsar did their alma mater proud when they emerged victorious in the recently concluded general election. Of the 15, nine...
+ Full Story

Other Articles