TITAH DYTM RAJA MUDA PERAK DARUL RIDZUAN
RAJA NAZRIN SHAH IBNI SULTAN AZLAN MUHIBBUDIN SHAH
DI MAJLIS HARI UCAPAN DAN PENYAMPAIAN HADIAH 2008
THE MALAY COLLEGE KUALA KANGSAR
TARIKH: 21 JUN 2008 (SABTU), JAM: 9.30 PAGI
TEMPAT: THE MALAY COLLEGE KUALA KANGSAR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda seterusnya kepara para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta sekali lagi dapat berangkat ke Majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah, The Malay College Kuala Kangsar (MCKK).
3. The Malay College Kuala Kangsar atau MCKK adalah institusi pendidikan yang akar sejarah penubuhannya berkait rapat dengan istana. MCKK ditubuhkan hasil gema suara istana. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berperanan sebagai penggerak utama kepada penubuhan Kolej ini. MCKK adalah produk, hasil cetusan Raja-Raja Melayu kerana Duli-Duli Yang Maha Mulia itu amat prihatin akan pentingnya anak-anak Melayu diperlengkap dengan pendidikan berkualiti tinggi. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu insaf betapa pentingnya anak-anak Melayu yang merupakan peribumi di Tanah Melayu ini dibekalkan dengan ilmu—diperlengkap dengan pengetahuan. Sesungguhnya, 100 tahun yang lalu, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu telah memiliki wawasan jauh dan pemikiran radikal untuk mempersiapkan bangsanya berupaya menghadapi cabaran dunia di hari muka. Lalu MCKK ditubuhkan dalam tahun 1905 di Bandar Di Raja Kuala Kangsar.
4. Setelah mencapai 100 tahun penubuhannya dengan kehendak ILAHI juga,
Beta telah diberikan amanah memenuhi tanggung jawab sebagai Pengerusi
Lembaga Pengelola MCKK. Dengan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia
Raja-Raja Melayu, MCKK telah dimasyhurkan sebagai sebuah institusi
Warisan Bangsa dan Negara. MCKK perlu senantiasa disuntik dengan nafas
baru agar kekal dihormati sebagai institusi pendidikan menengah yang
terunggul di negara ini. Beta insaf betapa pentingnya kualiti—betapa
mustahaknya taraf pendidikan di Kolej ini ditingkatkan bertaraf dunia,
agar tradisi melahirkan barisan pemimpin yang berwibawa dapat
diteruskan; agar keupayaan menghasilkan wira bangsa yang hebat
berpencak di gelanggang dunia dapat dilaksanakan. Atas keinsafan itu,
pada tahun 2005, Beta telah menyuarakan kesediaan Lembaga Pengelola
untuk melaksanakan program International Baccalaureate (IB) di Kolej
ini. Suara tersebut telah mendapat sokongan padu dari Malay College Old
Boys Association (MCOBA). Alhamdulillah, niat murni dan hasrat baik
tersebut telah diberikan persetujuan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia.
5. Berdasarkan akar sejarah penubuhannya, identiti MCKK dari segi
bentuk—dari segi tenaga pengajar—dari segi kurikulum—dari segi
kokurikulum haruslah mempunyai keunikan. Negara haruslah melihat
kedudukan MCKK dari kaca mata penilaian yang berbeza dan tidak wajar
disamakan dengan institusi-institusi pendidikan yang lain. Beta amat
menghargai peranan MCOBA dan bekas-bekas pelajar MCKK yang senantiasa
memberikan komitmen, membantu usaha-usaha untuk membangun dan memajukan
MCKK. Yang Amat Berbahagia Tun Mohammed Hanif Omar bersama Tuan Haji
Khalilur Rahman serta disokong oleh beberapa bekas pelajar MCKK kini
sedang melakukan inisiatif untuk menubuhkan The MCKK FOUNDATION, sebuah
yayasan untuk membantu usaha-usaha membangunkan MCKK supaya terus kekal
sebagai sebuah kolej pengajian yang terbilang tanpa terlalu bergantung
pada sumber kewangan kerajaan. Beta disembah maklumkan bahawa beberapa
institusi, badan-badan perniagaan dan juga tokoh-tokoh dari kalangan
bekas pelajar telah memberi komitmen untuk membantu menjayakan hasrat
yayasan ini dengan sasaran permulaan tabung bernilai sepuluh juta
ringgit.
6. Lembaga Pengelola bersama MCOBA juga sedang berusaha mencari sumber
kewangan untuk menambah kepada peruntukan asas yang telah diluluskan
oleh Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan dewan baru. Peruntukan yang
diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan hanya cukup untuk membina sebuah
dewan biasa. Selaras dengan semangat mahukan MCKK memiliki identiti
sebuah institusi pendidikan yang unggul, kata sepakat telah dicapai
supaya dewan baru yang akan dibina, memiliki reka bentuk, nilai-nilai
estetika, fungsi dan kemudahan yang dapat memberi kebanggaan kepada
warga MCKK; di samping dewan baru tersebut dapat menyediakan kemudahan
untuk membantu proses mengasah perkembangan bakat dan proses mengasuh
pertumbuhan potensi pelajar. Beta amat menghargai sokongan yang
diberikan secara fikiran, kepakaran, tenaga dan komitmen kewangan dari
bekas-bekas pelajar untuk menrealisasikan usaha ini.
7. Setiap langkah baru yang dirintis, adalah kesinambungan usaha bagi
memenuhi aspirasi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang
begitu prihatin terhadap kualiti pendidikan anak bangsanya yang telah
dizahirkan sejak lebih seratus tahun dahulu. Duli-Duli Yang Maha Mulia
Raja-Raja Melayu ketika itu amat menyedari betapa pentingnya anak
bangsa pewaris bumi, diperkukuh dengan iman—diperlengkap dengan
pengetahuan, supaya bangsa Melayu itu di hari muka, tidak menerima
nasib malang, bagaikan ayam kelaparan di kepuk—bagaikan itik kehausan
di air. Betapa malangnya bangsa jika menerima nasib bagaikan dagang di
kampung sendiri, jika terpaksa bermusafir di bumi sendiri. Kerana itu,
bangsa perlulah kuat dari segala aspek, supaya terus gagah—terus
perkasa, berhati cekal—bersemangat waja; berupaya mendaki gunung yang
tinggi, bertenaga menyeberangi laut yang dalam.
8. Untuk menrealisasikan wawasan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja
Melayu itu, dan untuk memastikan impian bangsa menjadi nyata, warga
MCKK wajib memelihara etos kecemerlangan. Warga MCKK hendaklah terus
mempertahankan tradisi kegemilangan. Dan anak bangsa yang telah
berjaya, janganlah berperangai si Tenggang, terlalu cepat bersifat
angkuh—terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal
keturunan—hingga memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi
rakus—menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat
bernaung—mencantas dahan tempat bergantung. Kejayaan anak bangsa di
hari ini adalah atas pengorbanan—atas keringat—atas kesusahan—atas
usaha generasi dahulu. Bangsa yang dapat meneruskan kelangsungan—bangsa
yang tamadunnya kekal agung, adalah bangsa yang tidak memutuskan diri
dengan akar sejarah malah senantiasa menghargai pengorbanan generasi
terdahulu.
9. MCKK adalah tempat terkumpulnya anak bangsa yang terpilih dari
kalangan yang paling cerdas berasaskan prestasi pencapaian akademik. Di
sinilah cerdik pandai Melayu dikampungkan dari usia yang begitu muda.
Di sinilah asuhan—di sinilah bimbingan dilakukan dalam usaha membina
modal insan untuk meneruskan kelangsungan bangsa di bumi warisan turun
temurun. Permata-permata bangsa ini diserahkan untuk digarap—untuk
dicanai oleh barisan para pendidik. Garap dan canailah permata-permata
bangsa ini supaya dapat menyinar cahaya kepada bangsanya—kepada
negaranya. Bisikkan kepada mereka akan petua orang-orang tua, bahawa
kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia, pesankan kepada
mereka jangan terlalu cepat bermusuh dengan kawan dan jangan terlalu
ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman dahulu lagi terlalu
banyak musang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang membawa rebah.
Ingatkanlah mereka akan sejarah bangsanya bernegara berlandaskan adat
rakyat bersultan—negeri beraja.
10. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada para pelajar yang telah
mencapai tahap hingga melayakkan mereka menerima penganugerahan pada
pagi ini. Bersyukurlah atas kejayaan ini dan perlihatkanlah sifat
bersyukur itu dengan memberi penghargaan sewajarnya kepada mereka yang
telah banyak berjasa membantu kejayaan saudara-saudara, terutama sekali
ibu-bapa dan para guru. Perlihatkan sifat kesyukuran itu nanti dengan
kembali untuk membantu MCKK menjadi lebih terbilang. Buktikan tanda
kesyukuran itu dengan memberikan pembelaan kepada bangsa dan nusa.
Insaflah bahawa kejayaan itu adalah kurniaan ILAHI, bersyukurlah kepada
ILAHI, jadilah anak yang soleh, jadilah warga yang setia kepada Raja
dan negaranya, jadilah Muslim yang bertakwa.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |